Ketibaan YB. Dr. Hajah Halimah  Binti Ali  

 

27 Ogos 2013 - Satu program telah diadakan di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, Sempena Minggu Tekad Siswa (MTS) yang telah berlangsung pada 24 - 28 ogos ini. Selama 5 hari banyak program yang telah dijalankan antara program bersama generasi idaman Selangor (GeIMS). Program tersebut telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Dr. Hajah Halimah Binti Ali, Pengerusi tetap pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negeri Selangor. Program tersebut diadakan adalah untuk merapatkan hubungan siratulrahim antara mahasiswa mahasiswi baru UNISEL bersama-sama dengan pihak atasan Universiti. Program ini bermula seawal jam 9.00 pagi dan telah dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan diantaranya ialah Prof Madya Haji Zainal Abidin Bin Kidam, Naib Presiden/Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Selangor.  Selain itu juga, turut menjemput En. Zulfikri Bin Mohamed Kamil, Hal Ehwal Pelajar Universiti Selangor.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh saudara Mohd Firdaus B Roslee dan ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Dr. Hajah Halimah Binti Ali.


Beliau memberi  ucapan tahniah kepada mahasiswa mahasiswi baru yang telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Selangor. Selain Program bersama GeMS pihak pengurusan universiti telah mengadakan juga karnival kelab dan persatuan untuk mahasiswa mahasiswi baru.

Yang Berbahagia Dr. Hajah Halimah Binti Ali telah membuat lawatan ke setiap pameran kelab dan persatuan yang aktif di Universiti Selangor. Sebanyak 30 buah kelab dan persatuan yang aktif telah membuka pameran mereka antaranya ialah Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS), Ikatan Mahasiswa Prasekolah (IMPra), Majlis Perwakilan Naquba’ (MPN), Kelab Nasyid Nur I See. Kelab Mahasiswa Pengajian Islam (KMPI), Grup Pengkaji Tamdun Dunia (GPTD), Kelab Taekwando, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang telah diadakan banyak memberi tunjuk ajar kepada mahasiswa mahasiswa untuk menjadi aktif dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Beliau juga telah melawat pameran WATANIAH dan bergambar bersama-sama dengan tetamu jemputan serta ahli-ahli dari persatuan tersebut.

Selain daripada itu juga, beliau juga telah melawat pameran daripada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) UNISEL. Mereka juga telah mengadakan sesi bergambar bersama-sama tetamu dan ahli-ahli persatuan tersebut. Selesai sahaja melawat pameran kelab dan persatuan sedikit jamuan telah disediakan oleh Fasilitator Minggu Tekad Siswa (MTS) untuk para tetamu jemputan.

Sebelum berangkat pulang sesi bergambar kenang kenangan telah diadakan diantara pihak pengurusan tertinggi Universiti bersama-sama para Fasilitator dan juga Yang Berbahagia Dr. Hajah Halimah Binti Ali.

Keberangkatan pulang Yang Berbahagia Dr. Hajah Halimah Binti Ali diiringi oleh tetamu-tetamu jemputan. Semoga selepas ini, diharapkan Yang Berbahagia dapat meluangkan masa lagi di masa akan datang di Universiti Selangor. Kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi.

JoomShaper