22 Mac 2011 - Pameran Nilai Citra 2011

SHAH ALAM – Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) sedang menganjurkan Pameran Nilai Citra 2011 bermula pada 22hb Mac 2011 sehingga 30hb Mac 2010 di Galeri Shah Alam, Taman Tasik Shah Alam. Acara perasmian pameran ini akan berlangsung pada 22hb Mac 2011, Selasa, jam 03.00 petang yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mustapha Maarof.

Menurut Ketua Program Jabatan Teknologi Fotografi, Puan Nur Shazleen Md Yusof; ”tema bagi pelajar jurusan Teknologi Fotografi pada acara pameran kali ini adalah ’Keep Walking’ yang mana bermaksud pelajar akan terus mendalami ilmu kreativiti dalam dunia seni dan fotografi tanpa henti. Pameran tahun ini mendedahkan perkembangan teknikal dan juga pemikiran yang meluas dalam pemilihan subjek dalam seni fotografi. Seni fotografi melihat dalam bidang seni halus, pengiklanan, fesyen, potret dan juga dokumentari foto yang dihasilkan dalam bentuk cetakan digital dan hitam putih analog”.

Menurut beliau lagi, ”pelajar juga telah berjaya menunjukkan kematangan menghasilkan karya menerusi sensitiviti mereka terhadap persekitaran. Ini boleh dilihat dalam karya dokumentari foto yang menitikkan nilai budaya dan juga keperhatinan terhadap kehidupan manusia yang nyata. Manakala dalam karya pengiklanan fotografi pula menfokuskan kepada nilai komersial sesuatu produk samaada dipersembahkan secara ’conseptual’ ataupun secara ’direct’.

Selain dari itu, menurut salah seorang pensyarah kanan di Jabatan Seni Reka Grafik Digital pula, pameran kali ini adalah bertujuan membuktikan penghargaan pihak Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka terhadap kerja keras pelajar selama ini. Pelajar-pelajar ini telah diberi tugasan dengan memilih mana-mana produk servis atau syarikat bagi tujuan promosi jenama pakaian yang tidak dikenali ramai, sehingga menjadikan promosi jenama tersebut setanding dengan jenama-jenama terkenal. Ada juga yang berjaya memberi nafas baru untuk penjenamaan korporat bagi syarikat atau produk pilihan mereka.

Koleksi Pameran Nilai Citra ini menghimpunkan sebanyak 210 hasil karya pelajar ’Final Projets’ Penilaian Ijazah Pertama dan Diploma Grafik Digital dan Diploma Seni Foto. Pameran kali kedua ini bertujuan untuk mengetengahkan hasil karya terbaik para pelajar tahun akhir dari dua program kepada umum. Pameran ini juga bertujuan mendidik serta memberitahu umum betapa pentingnya Pendidikan Seni dalam menentukan kerjaya setiap pelajar pada masa akan datang. Selain itu dalam Pendidikan Seni, peranan Kreativiti dan Ilham Cipta yang sentiasa wujud dalam Otak Kanan kita dapat dipupuk dan dijana sebaik mungkin, agar ia terus subur dan berkembang pesat.

 
© copyright 2011 Unisel - Universiti Selangor