| Buat julung kalinya melangkah ke pusingan akhir kategori WIRA. Oleh: Akmal Manaf
KUALA TERENGGANU: Setelah berjuang dengan dua pusingan, akhirnya UNISEL-GeMS Racing Team menemui rentak apabila berjaya melangkah ke pusingan akhir kategori Wira.
Sebagai pasukan yang masih baru di pentas CubPrix, sudah semestinya perasaan bangga dan teruja menyelebungi pasukan.
Berlumba di dalam keadaan litar yang teknikal tidak menghalang pelumba UNISEL-GeMS, Mohd Izzat Abdul Hakim untuk terus mencabar pelumba-pelumba lain.
Bermula di petak yang ke-15 daripada 20 pelumba, Izzat terus memberikan saingan pada pelumba-pelumba yang lain untuk menempatkan diri di dalam kelompok yang agak selesa.
Saingan demi saingan terus diberikan oleh Izzat dan rentak tunggangan Izzat menjadi sedikit perlahan apabila hujan mula turun. Para pelumba yang lain juga turut memperlahankan jentera masing-masing.
Izzat mengambil tindakan bijak apabila beliau lebih berhati-hati semasa di litar yang basah. “Litar yang basah telah sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya semasa perlumbaan.” Jelas pemilik jentera bernombor 13 itu.
Beliau telah berjaya menamatkan sepenuhnya pusingan akhir kategori Wira dengan memperolehi kedudukan ke-18 daripada 20 pelumba lain. Catatan masa peribadi yang di catatakan ialah 47.346s.
Tambah Izzat, beliau berterima kasih kepada semua krew UNISEL-GeMS Racing Team terutamanya ayah beliau Mohd Abdul Hakim dan pengurus pasukan, Professor Ir. Muhidin bin Arifin yang banyak memberi semangat kepada beliau.
Bagi pengurus pasukan pula, Profesor Ir. Muhidin bin Ariffin, beliau berpendapat pusingan kali ini seolah-olah mendatangkan tuah kepada pasukan UNISEL-GeMS Racing Team kerana pada pusingan kali ini juga mereka bertanding dengan warna motor yang baru dan melangkah ke pusingan akhir. Di samping itu , Muhidin memuji persembahan Izzat di litar Gong Badak kerana Izzat telah mencuba habis-habisan walaupun berlumba di litar yang basah.
Seterusnya pasukan UNISEL-GeMS akan terus bertanding pada pusingan ke-4 yang akan berlangsung di Presint 3, Putrajaya pada 28 dan 29 Mei ini.
Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar
|