MUHAMMAD FARID DAN MOHAMAD YUSAIRI PENERIMA ANUGERAH CANSELOR UNISEL

Share This Post

“Learn for life not just for exam papers” menjadi prinsip utama yang dipegang Muhammad Farid bin Wahid, penerima Anugerah Canselor 2020. Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) itu berharap agar kejayaan beliau merangkul anugerah utama tersebut sebagai pembakar semangat kepada graduan yang lain untuk terus berjaya pada masa hadapan.
 
Muhammad Farid dikenali sebagai pelajar yang aktif dan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Malah beliau sering mendapat pelbagai pengiktirafan luar antaranya MonStar Awards 2020 sebagai ‘Top 50 Malaysia Young Talent selain anugerah tertinggi iaitu Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 daripada Malaysian Institute of Accountants (MIA).
 
Selain menerima Anugerah Canselor 2020, beliau turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, plak dan sijil penghargaan yang disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selain turut menerima seutas rantai dan loket emas.
 
Bagi Mohamad Yusairi bin Yusuf Yap, penerima Anugerah Canselor 2021, beliau menzahirkan kesyukuran dan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepadanya sepanjang bergelar mahasiswa UNISEL.
 
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Komputer) itu dikenali sebagai pelajar berkaliber dalam bidang akademik dan kokurikulum malah sentiasa meraih Anugerah Dekan bagi setiap semester dan telah berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dengan CGPA 3.96.
 
Istimewanya, Mohamad Yusairi merupakan pelajar celik IT di mana beliau telah mula mempelajari bahasa pengaturcaraan komputer seawal 12 tahun. Beliau kini merupakan Jurutera Perisian di sebuah syarikat multinasional yang berfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan sistem kewangan di seantero dunia.
 
Selain menerima Anugerah Canselor 2021, beliau turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, plak dan sijil penghargaan yang disumbangkan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor selain turut menerima seutas rantai dan loket emas.
 
Kedua-dua graduan tersebut menerima pengurniaan anugerah daripada Y.A.D Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj, Canselor UNISEL sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Kali Ke-15 Bagi Tahun 2021 yang berlangsung secara fizikal hari ini di UNISEL Kampus Bestari Jaya.
Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor Kali Ke-15 Bagi Tahun 2021 ini merupakan Istiadat Konvokesyen pertama setelah dua tahun tidak mengadakan Istiadat berikutan pandemik Covid-19. Istiadat penuh warna warni dan gilang gemilang ini akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 9 Februari 2022.
 
Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada 5 Februari 2022 yang disempurnakan oleh Y.A.D Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj selaku Canselor UNISEL dan diiringi oleh Pro Canselor UNISEL iaitu Y.A.D Dato’ Setia Dr. Haji Anuar bin Masduki. Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini ialah Y.A.B Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNISEL serta Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan bin Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
5 Februari 2022

More News

Latest News

IFTAR PERDANA RAI KAKITANGAN DAN KELUARGA BESAR UNISEL

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini meraikan pelajar, kakitangan dan keluarga dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya. Program Iftar Perdana 1445H/2024 tersebut

Latest News

UNISEL PRIHATIN

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Jabatan Pengurusan Aset dan Pembangunan Perniagaan (JPAPP) telah menyerahkan kerusi bermeja lipat kepada Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah menerusi