SERAMAI 2864 GRADUAN BERGRADUAT SEMPENA ISTIADAT KONVOKESYEN UNIVERSITI SELANGOR KALI KE-15 BAGI TAHUN 2021

Share This Post

Seramai 2864 orang graduan layak menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Kali Ke-15 Bagi Tahun 2021 bertempat di UNISEL Kampus Bestari Jaya. Jumlah tersebut merangkumi 1221 orang graduan yang mengikuti pengajian peringkat Diploma, 1597 orang graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 24 orang graduan peringkat Ijazah Sarjana serta 26 orang graduan peringkat Kedoktoran. Istiadat penuh warna warni dan gilang gemilang ini akan berlangsung selama lima (5) hari bermula 5 sehingga 9 Februari 2022.
 
Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada 5 Februari 2022 (Sabtu) yang akan disempurnakan oleh Y.A.D Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj selaku Canselor UNISEL dan diiringi oleh Pro Canselor UNISEL iaitu Y.A.D Dato’ Setia Dr. Haji Anuar bin Masduki. Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini ialah Y.A.B Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNISEL serta Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan bin Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
 
Istiadat pada kali ini bakal meraikan graduan terbaik mengikut pelbagai kategori tahun 2020 dan 2021. Bagi tahun 2021, sebanyak lima orang graduan bakal merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan 46 graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program disamping empat anugerah utama yang menjadi daya tarikan utama setiap graduan. Anugerah yang dimaksudkan ialah Anugerah Canselor yang bakal diterima oleh Mohamad Yusairi bin Yusuf Yap, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian), Anugerah Pengerusi bakal diterima oleh Muhamad Syazwan bin Misran, Ijazah Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan (Kepujian), Anugerah Naib Canselor bakal diterima oleh Nor Julzafirah binti Julkipli, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) manakala Anugerah Exco Pendidikan bakal diterima oleh Muhamad Zaim bin Yazid, Diploma Fisioterapi.
 
Bagi tahun 2020, sebanyak lima orang graduan bakal merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan 31 graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program disamping empat anugerah utama. Anugerah Canselor bakal diterima oleh Muhammad Farid bin Wahid, Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Anugerah Pengerusi bakal diterima oleh Yugeshineey a/p Subba Rao, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, Anugerah Naib Canselor bakal diterima oleh Nur Fazira binti Zakaria, Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri (Kepujian) manakala Anugerah Exco Pendidikan bakal diterima oleh Nur Farisha Eisya binti Mat Rosli, Diploma Pengurusan Pentadbiran. Setiap kategori anugerah yang diberikan adalah bukti keprihatinan universiti dalam menghargai kesungguhan serta kegigihan para graduan selama ini.
 
UNISEL turut menganugerahkan Ijazah Secara Anumerta kepada Almarhum Nursafiq Hafizan bin Jafri dari program Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) (Kepujian) yang telah kembali ke rahmatullah pada 4 Mei 2021. Ijazah Anumerta merupakan penganugerahan ijazah selepas kematian pelajar semasa berada dalam pengajian.
 
Bagi mencegah penularan Covid-19 sepanjang berlangsungnya Istiadat, UNISEL hanya mengadakan majlis pengurniaan ijazah pada sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang untuk sesi konvokesyen berikutnya. UNISEL juga menetapkan hanya graduan dibenarkan berada di dalam dewan. Walaubagimanapun, pihak UNISEL menyediakan beberapa khemah di hadapan Dewan Canselor yang mana turut disediakan penstriman langsung kepada ibu bapa bagi mengikuti sesi konvokesyen anak mereka.
 
Dalam pada itu, Pesta Konvo 2022 akan turut berlangsung selama enam hari bermula 4 sehingga 9 Februari 2022 yang dikendalikan oleh Pejabat Komunikasi Korporat. Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung antaranya forum, Bazaria@UNISEL, Selangor Kerjaya, pertandingan memancing, zumba, pertunjukan motosikal, UNISEL Night Run dan persembahan artis.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
5 Februari 2022

More News

Latest News

IFTAR PERDANA RAI KAKITANGAN DAN KELUARGA BESAR UNISEL

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini meraikan pelajar, kakitangan dan keluarga dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya. Program Iftar Perdana 1445H/2024 tersebut

Latest News

UNISEL PRIHATIN

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Jabatan Pengurusan Aset dan Pembangunan Perniagaan (JPAPP) telah menyerahkan kerusi bermeja lipat kepada Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah menerusi