MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA RASMI PERPUSTAKAAN PERINGATAN SIDDIQ FADZIL DI UNISEL

Share This Post

YB Puan Fahdlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia hari ini hadir ke Universiti Selangor (UNISEL) bagi melancarkan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Kampus Bestari Jaya.
 
Penubuhan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil merupakan salah satu usaha UNISEL bagi memperingati tulisan, buku, idea dan pemikiran Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sebagai material pembangunan ummah.
 
Beliau dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti yang bertungkus-lumus untuk memastikan idea dan pemikiran almarhum dapat dimanfaatkan oleh bangsa dan negara.
 
Tambah beliau, negara amat memerlukan insan yang berwawasan. Selaku Menteri Pendidikan Malaysia, beliau amat menekankan aspek pembinaan karakter dalam kalangan pelajar selain menggalakkan ciri rukun Madani dan pendidikan Al-Hikmah secara inklusif dalam sektor pendidikan negara.
 
Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, selain perpustakaan peringatan, UNISEL juga telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) bagi mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.
 
“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengangkat pemikiran Almarhum. Ini termasuklah mengadakan pelbagai siri perbincangan, seminar, wacana dan sebagainya. Malah setiap program yang diadakan turut disertai oleh ilmuwan dan cendekiawan dari seluruh dunia termasuklah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja,”
 
“Sesungguhnya penubuhan institut dan perpustakaan ini bakal menjadi sumber rujukan para sarjana dan penyelidik bagi menilai dan melihat sendiri bagaimana pemikiran seorang tokoh berkembang dan memberi kesan kepada pembangunan insaniah dan pembangunan material,”
 
Turut hadir sepanjang majlis adalah YB Puan Rozana Zainal Abidin, Ahli Lembaga Pengarah UNISEL, Prof. Dato’ Dr. Mohd Nur Manuty, Pengerusi Yayasan UNISEL dan barisan pengurusan tertinggi UNISEL.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
6 Julai 2023

More News

Latest News

IFTAR PERDANA RAI KAKITANGAN DAN KELUARGA BESAR UNISEL

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini meraikan pelajar, kakitangan dan keluarga dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya. Program Iftar Perdana 1445H/2024 tersebut

Latest News

UNISEL PRIHATIN

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Jabatan Pengurusan Aset dan Pembangunan Perniagaan (JPAPP) telah menyerahkan kerusi bermeja lipat kepada Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah menerusi