SCORSA-FEED MENEMPA NAMA DI SRIE 2022

Share This Post

Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Universiti Selangor (UNISEL) yang diketuai oleh Dr. Intan Faraha A. Ghani, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar, Sumber dan Penyelidikan (FKSH) berjaya meraih Tempat Ke-3 di Anugerah Pertandingan Research & Development (R&D) dan Inovasi (SRIE) 2022, Kluster Bioteknologi.
 
Sebanyak 58 buah universiti dan agensi berkhususkan 14 Kluster Bioteknologi turut bertanding di SRIE 2022 yang telah berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
 
Ahli kumpulan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Dzulkarnain Ahmad, Dr. Roshani Othman, Cik Emi Fazlina Hashim, En. Mohd Khatta Marwah dan En. Muhammad Fikri Abdul Hadi (Pelajar) telah berjaya menghasilkan makanan ikan air tawar yang diformulasi menggunakan hampas kelapa menggantikan jagung.
 
Formulasi ini dapat menghasilkan pelet ikan yang lebih murah namun ia memberikan kadar tumbesaran yang baik setanding dengan pelet komersial yang ada.
 
Menurut Ketua Penyelidik, Dr. Intan Faraha, kajian telah dijalankan selama dua tahun dan telah melibatkan proses kajian secara ‘Lab Scale’ dan ‘Pilot scale’. Produk yang dihasilkan itu boleh dibangunkan serta dikembangkan untuk komersialisasi sekali gus membantu penternak dalam mengurangkan kos penternakan disamping mendapat tumbesaran ternakan yang baik.
 
Projek kajian ini merupakan hasil daripada cetusan idea dan sokongan Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL serta mendapat tajaan pembiayaan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, ujar beliau.
 
Produk kajian ini juga turut mendapat perhatian daripada para pengunjung terutama pemain industri sepanjang hari pameran yang berlangsung di KLCC.
 
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
10 Oktober 2022

More News

Latest News

TERIMA KASIH UNISEL

Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Kali Ke-16 melabuhkan tirainya hari ini. Istiadat yang berlangsung selama dua hari bermula semalam (3 Disember) itu berlangsung di Dewan